Rabu, 18 Desember 2013

Rektor UITM Melaka Minta Pelajar Ibu Bapa Bertenang

Rektor UITM Melaka Minta Pelajar, Ibu Bapa Bertenang


KUALA LUMPUR – Ibu bapa dan para pelajar di Universiti Teknologi Mara (UITM) Melaka diminta bertenang kerana keadaan kampus sentiasa berada dalam keadaan baik dan terkawal, kata Rektornya, Prof. Madya Dr. Mohd.Adnan Hashim.
Menurut Dr. Mohd. Adnan, beliau tidak menolak kemungkinan ada pelajar di kampus tersebut yang mengalami masalah tersendiri hingga menyumbang kepada insiden ‘rasuk’ seperti mana yang hangat tersebar dalam media sosial ketika ini.
” Saya ingin memberi jaminan bahawa keadaan adalah terkawal dan tidak ada apa yang perlu dibimbangkan kerana pihak pentadbiran kampus mengambil berat masalah pelajar serta cuba sebaik mungkin bagi memastikan keselesaan mereka,” katanya ketika dihubungi Mynewshub.my di sini lewat malam ini.
Beliau juga memberitahu pihaknya sentiasa menekankan aspek keagamaan termasuk majlis bacaan Yassin kepada warga kampus tersebut.
Topik rasuk dan histeria di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Lendu, Melaka secara tiba-tiba trending di Twitter malam ini.
Topik berkaitan kejadian tersebut banyak dibincangkan menggunakan beberapa hastag seperti #uitmlendu, #PrayForLendu, #UITMLendu, #HantuDiUiTMLendu dan #PrayForUiTMLendu serta beberapa yang lain lagi.
Kebanyakan pengguna akaun Twitter dari kalangan pelajar dan golongan muda yang dilihat memberikan perhatian kepada kejadian rasuk di UiTM berkenaan.
Ramai yang meluahkan rasa bimbang dengan situasi di sana dan ramai juga yang mendoakan keselamatan kepada pelajar-pelajar berkenaan. – Mynewshub.my

Tidak ada komentar:

Posting Komentar