Rabu, 25 Desember 2013

Catat jualan RM3 5b

Kuala Lumpur: Malaysia Biotechnology Corporation Sdn Bhd (Biotechcorp) menerusi 225 syarikat berstatus BioNexus berjaya mencatatkan perolehan jualan produk sehingga RM3.5 bilion sehingga September lalu.

Jumlah berkenaan dijangka terus meningkat sehingga hujung 2013 memandangkan keupayaan syarikat berkenaan menghasilkan produk mendapat permintaan tinggi pasaran tempatan dan luar negara.


Dalam masa sama, Biotechcorp turut berjaya menarik RM3 bilion jumlah pelaburan dalam industri berkenaan yang mana membuktikan pertumbuhan rancak industri bioteknologi tempatan di samping mencerminkan kepentingannya sebagai antara penyumbang ekonomi negara.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Dr Mohd Nazlee Kamal berkata, ketika ini 10 hingga 15 peratus daripada syarikat berkenaan berjaya mengeksport produk mereka ke pasaran asing dan dijangka terus meningkat daripada angka itu pada tahun depan.


Beliau berkata, pemain industri bioteknologi di Malaysia banyak menghasilkan produk dalam segmen berasaskan pertanian dan berasaskan bahan semula jadi yang mendapat permintaan tinggi di pasaran tempatan dan asing.


“Kemampuan syarikat Malaysia menghasilkan produk-produk di dalam segmen berkenaan membantu mereka meraih pendapatan tinggi di pasaran eksport dan memberi kelebihan kepada mereka.

Dr Mohd Nazlee Kamal

“Walaupun keadaan ekonomi yang tidak stabil dan menjejaskan eksport dunia, namun, produk bioteknologi tidak mengalami kesan yang ketara kerana ia sememangnya mendapat sambutan pasaran,” katanya kepada Bisnes Metro di sini, baru-baru ini.


Nazlee berkata, kebanyakan produk yang dieksport syarikat berstatus BioNexus adalah dalam kalangan negara ASEAN dan dengan janaan perolehan itu ia dijangka dapat meluaskan lagi pasaran eksport ke negara luar ASEAN pada masa depan.

“Situasi perniagaan syarikat BioNexus dijangka berkembang kukuh dengan adanya beberapa syarikat yang sebelum ini dalam kategori permulaan sudah beralih kepada firma sederhana.


“Malah, beberapa syarikat BioNexus juga kini dalam peringkat mengkomersialkan penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang mana ia dapat menghasilkan lebih banyak produk dalam segmen bioteknologi dari Malaysia,” katanya.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar