Kamis, 27 Februari 2014

Imej Umno mulai merudum di bawah Dr Mahathir Tamrin

Harakahdaily

Yaakub Dasan, 02 Jul 2012
PASIR MAS: Rakyat perlu menggunakan kuasa mereka bagi menyekat kerajaan yang boros daripada terus mentadbir negara ini, sekiranya tidak mahu negara hilang hala tuju pada masa akan datang.

Bekas anggota parlimen Batu Berndam, Datuk Tamrin Abdul Ghafar berkata, rakyat perlu bertindak bagi mengelakkan Malaysia terus hilang hala tujunya dalam menempuh masa depan yang gemilang.

“Perdana Menteri sekarang terlalu boros berbelanja tanpa memikirkan natijah buruk yang akan menimpa masa depan negara.

“Kekurangan ketelitian Datuk Seri Najib dalam perbelanjaan termasuk ketika melawat luar negara baru-baru ini menghabiskan RM850,000 dalam lawatan tiga malam di London.

“Dan RM1.6 juta ketika lawatan  ke New York selama empat  malam,” katanya di hadapan ribuan penduduk yang membanjiri padang Mini Stadium Pasir Mas di sini malam tadi.

Tamrin yang juga bekas anggota Exco Pemuda Umno Malaysia mempersoalkan apakah tidak boros namanya apabila berbelanja lebih RM2 juta dalam lawatan seminggu ke luar negara.

Beliau yang juga bekas Pengerusi MARA berkata, Perdana Menteri sekarang suka kepada promosi berlebihan sehingga ketika menunaikan ibadat umrah pun dibuat kenyataan media.

“Semasa pergi umrah Perdana Menteri membuat sidang akhbar sebanyak empat kali termasuk di Mekah dan Madinah,” ujarnya.

Beliau juga mendakwa imej Umno mulai menurun semasa ditadbir Tun Dr Mahathir Mohamed apabila bertindak menukar royalti petroleum kepada ihsan semasa PAS mentadbir Terengganu.

“Sejak itu Umno mula merosot dan semasa Tun Abdullah Ahmad Badawi, negara kehilangan RM200 juta. Namun sekarang keadaan lebih teruk lagi melibatkan Felda yang diasaskan Tun Abdul Razak Hussein,” katanya.

Sementara itu di pentas ceramah yang sama artis Abby Abadi melahirkan rasa bersyukur kepada Allah Taala kerana membuka pintu hatinya bersama dengan perjuangan Islam setelah beberapa kali berada di Tanah Suci Makkah.

Beliau juga melahirkan rasa terharu kedatangannya ke Kelantan dapat bertemu mata dengan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang turut menghargai perwatakannya sekarang.

“Salah satu sifat yang saya tertarik dengan Tok Guru bila mana ketika orang kata sebagai bapa kafir, beliau hanya menjawab ‘biarlah dia kata asalkan kita tidak,” ujarnya.

Bekas Ketua Pemuda Umno Ketereh, Sabri Shafie berkata, beliau meninggalkan Umno kerana bosan dengan pelbagai kemelut yang melanda parti itu sekarang.

Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, Datuk Mohd Amar Abdullah mencabar ahli Parliman Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali bertanding tiga penjuru pada pilihan raya ke-13 atas nama bebas bagi melihat sejauh mana pengaruhnya.

“Dengan cara itu barulah beliau tahu seramai mana rakyat Pasir Mas menyokongnya,” kata beliau.

Yang Dipertua PAS Pasir Mas, Hanifa Ahmad mendedahkan ada pihak cuba mensabotajkan program ceramah tersebut dengan mengedarkan poster bertulis “Ceramah malam ini ditunda ke 6 Julai 2012”.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar