Azrul Azwar Ahmad Tajudin
KUALA LUMPUR - Bank Islam Malaysia Berhad hari ini membuat laporan polis kedua terhadap ketua pakar ekonominya yang digantung tugas, Azrul Azwar Ahmad Tajudin kerana mendapat dan membocorkan dokumen sulit bank.
Azrul Azwar menjadi perhatian baru-baru ekoran pandangannya bahawa Pakatan Rakyat (PR) ada kemungkinan menang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
Bank Islam dalam satu kenyataan berkata, laporan polis yang pertama dibuat di Balai Polis Dang Wangi Jumaat lepas.
"Dalam proses siasatan kami tentang pelanggaran peraturan, bank mengesan bukti pelanggaran lain yang mewajarkan kami membuat laporan polis pada Jumaat.
"Penggantungan tugas adalah akibat tindakan Azrul melanggar dasar dalaman bank, dengan butirannya telah disampaikan kepada beliau dalam surat tunjuk sebab, yang diserahkan kepadanya pada 17 Januari dan selepas siasatan selanjutnya, bank membuat laporan polis yang kedua hari ini," kata kenyataan itu dipetik Bernama hari ini.
Sabtu lalu, Azrul Azwar menegaskan, beliau berpegang kepada analisis yang mencetuskan kontroversi bahawa PR ada kemungkinan boleh menang PRU13, sekali gus membentuk kerajaan pusat.
Azrul Azwar berkata, beliau mengetengahkan pandangannya pada Singapore Regional Outlook Forum tempoh hari secara profesional, jujur dan tanpa memihak mana-mana pihak.
"Saya berpegang kepada analisis saya dan pembentangan saya pada forum (dimaksudkan)," katanya.
Kata Azrul Azwar lagi, beliau menyediakan analisis berdasarkan tiga senario iaitu kemenangan tipis Barisan Nasional (BN), kemenangan tipis PR dan kemenangan besar bagi PR.
PRU13 dijangka akan diadakan Mac ini. Mandat kerajaan pusat berakhir penghujung April.
Sambil menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa beliau ahli PKR, Azrul Azwar berkata, tidak ada alasan munasabah untuk mengambil tindakan disiplin ke atas dirinya.(
Tidak ada komentar:
Posting Komentar